Tolak ansur Rasulullah terhadap gurauan An-Nuayman_bin_Amr

Nabi Muhammad kadang-kadang juga bergurau senda dengan keluarga dan sahabat baginda. Aisyah r.a. berkata: "Jika Rasulullah SAW berada di rumah, dialah orang yang paling murah senyum dan ketawa". Ali bin Abi Talib menceritakan bahawa Rasulullah selalu kelihatan ceria, tenang dan santai, banyak tersenyum di hadapan para sahabat, semangat dan kagum dengan pembicaraan mereka, malah kadang kala tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya.[2]

Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Nabi adalah orang yang murah senyum dan berhati bersih. Sebahagian sahabat mengatakan bahawa gelak ketawa Nabi hanya sekadar tersenyum, namun sebahagian yang lain mengisahkan bahawa kadang kala baginda tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya. Namun yang jelas, ketika tertawa, baginda selalu menutup mulutnya dengan telapak tangan.[3]

Baginda juga berpesan kepada para sahabat untuk sesekali merehatkan jiwa dan hati. Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa baginda bersabda: "Rehatkanlah hati kamu sesaat demi sesaat, kerana apabila hati telah tumpul (letih) maka ia akan buta". Pada waktu yang lain, baginda juga bersabda : "Orang yang tidak bergembira dan tidak membuat orang lain gembira, adalah orang yang tidak memiliki kebaikan".[4]

Rasulullah banyak menerima gurauan Nu'aiman tetapi dengan perkara yang tidak melampaui batas. Setiap kali gurauan Nu'aiman diajukan kepada baginda, baginda akan menyiasat dahulu sebab dilakukan dengan bertanya dan tindak balas baginda terhadap jawapan tersebut menggambarkan keperibadian baginda yang bertolak ansur dan penyabar.